Monday, February 4, 2019

Bab 5: Melancong Dengan Gembira

Apabila anda pergi melancong, tentu sekali anda menginginkan percutian yang menyeronokkan dan meninggalkan pengalaman manis buat anda dan insan-insan tersayang. Nasihat saya adalah merancang percutian anda sebaik-baiknya dan menyerahkan kepada takdir setelah semua perancangan dibuat dengan teliti dan bukanlah sebaliknya.

Tujuan kita melancong adalah untuk merehatkan minda setelah berhempas pulas di pejabat dan di rumah menguruskan keluarga. Ia juga bertujuan bagi merapatkan silatulrahim sesama ahli keluarga, sahabat handai dan peserta-peserta lain yang mengikuti pakej pelancongan tersebut. Ajal maut semuanya di tangan Allah s.w.t, mana tahu inilah perjalanan terakhir kita bersama keluarga tercinta sebelum kita atau ahli keluarga yang lain dijemput Allah s.w.t. Dari pengalaman saya yang lalu bersama pasangan suami-isteri yang cukup baik, bertimbang-rasa, 'sporting' dan 'happy go lucky' ini, isterinya yang saya panggil 'kak Sherry' telah meninggal dunia pada tahun berikutnya setelah balik dari Korea dengan rombongan kami. Alhamdulillah, saya sempat menziarahi beliau semasa beliau dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi di HUKM. Beliau meninggal dunia sebaik sahaja balik dari mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Semoga Allah s.w.t mengangkat darjatnya dan meletakkan rohnya di kalangan para solihin, amin. Doa yang sama juga saya panjatkan untuk jemaah umrah saya bernama Puan Azlina. Terkedu mendengar pemergiannya dalam media sosial kerana arwah kelihatan sihat, bertenaga dan gembira semasa saya menghantar beg bagasi umrah di pejabat beliau. Situasi-situasi dan pengalaman-pengalaman ini cukup menginsafkan saya.

Mengapa kita perlu membuat persediaan sebelum melancong?

Jawapan mudah bagi soalan ini adalah tentu sekali untuk mengelakkan situasi-situasi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan sepanjang lawatan. Contohnya, anda melancong pada musim sejuk dan suhu pada waktu itu adalah -5°C. Anda terlupa membawa jaket musim sejuk dan hanya memakai baju T sepanjang 9 hari perjalanan di sana. Sudah tentu anda menggigil kesejukan kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk dan lebih teruk lagi jika bibir anda merekah, kering dan berdarah kerana anda tidak membawa pelembap bibir, selendang tebal yang membalut leher dan kasut yang sesuai. Anda mungkin akan batuk-batuk, sakit tekak, demam, sengal badan, alergi dan lebih teruk lagi mendapat hipotermia.

Kita juga membuat persediaan agar perjalanan kita lancar. Kita dapat belajar sesuatu apabila otak kita tenang tanpa diganggu dengan isu remeh-temeh. Sikap kita juga turut menjadi positif dan banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip contohnya budaya dan adat resam, makanan ruji, bahasa pertuturan penduduk setempat dan sebagainya.

Apabila kita membuat persediaan awal, kita juga menjadi tenang menerima sebarang kemungkinan atau musibah yang Allah s.w.t turunkan contohnya penerbangan lewat atau tertunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, makanan yang tidak menepati citarasa, cuaca yang tidak mengizinkan yang menyebabkan aktiviti menaiki belon udara panas terpaksa dibatalkan pada hari yang dijadualkan, perjalanan yang lama dari satu destinasi ke destinasi yang lain menggunakan perkhidmatan bas yang cukup melenguhkan atau aktiviti ke Taman Tema terpaksa dibatalkan kerana cuaca terlalu sejuk dan berkabus. 

Kesimpulannya di sini, kita perlu membuat persediaan terlebih dahulu secara emosi dan fizikal sebelum kita melancong agar percutian kita menggembirakan dan menyeronokkan. Duit yang kita laburkan juga terasa berbaloi dan tidak akan teragak-agak untuk merancang percutian yang seterusnya. Paling penting, kita tidak akan melatah apabila berlaku sebarang dugaan dan menyelesaikannya dengan bijak dan tenang.

No comments:

Post a Comment

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...