Monday, February 11, 2019

Bab 3: Pembahagian Bajet

Anda adalah seorang pelancong yang sangat bijak sekiranya anda merancang percutian dengan baik sebelum memulakan perjalanan melainkan anda adalah seorang jutawan! Bagaimana membuat pembahagian bajet supaya tiada masalah serius yang timbul dan anda dapat menikmati percutian anda dengan gembira dan tenang?

Bajet percutian anda terbahagi kepada empat:-

Pertama
Bajet yang merangkumi perbelanjaan keseluruhan sesebuah pakej percutian contohnya pakej Korea 5 hari 4 malam berharga RM 3400 untuk seorang dewasa, pakej Xian-Beijing 7 hari 5 malam berharga RM 3500 seorang, pakej Dubai Abu Dhabi 6 hari 4 malam berharga RM4600 seorang dan  lain-lain lagi. Harga ini termasuklah perbelanjaan tiket pergi dan balik ke destinasi pilihan, elaun bagasi sebanyak 30kg seorang, penginapan termasuk sarapan di hotel bertaraf 3, 4 atau 5 bintang, pengangkutan pergi dan balik dari lapangan terbang ke hotel dan sebaliknya, pengangkutan semasa lawatan, makan tengahari dan malam di restoran tempatan, tiket masuk ke semua tempat lawatan, tip untuk pemandu pelancong tempatan, insurans perjalanan (pelan VIP atau pelan biasa) dan tambahan elaun beg kabin sebanyak 7 kg seorang. Harga pakej mestilah harga keseluruhan kos yang disebut tadi dan pastikan tiada kos-kos tersembunyi yang tidak disebut di dalam perjanjian.

Kedua 
Bajet untuk perbelanjaan membeli barangan keperluan sendiri contohnya makanan dan minuman tertentu seperti kimchi, coklat, ginseng atau batu pertama amethyst, pakaian, gajet dan aksesori telefon bimbit, cenderamata seperti rantai kunci atau aksesori magnet peti sejuk, kerongsang dan barangan kosmetik di Korea, pati bunga ros, oren dan kekacang di Morocco, produk minyak zaitun di Sepanyol, pinggan seramik dan produk kulit kambing Anggora di Turki dan servis-servis tambahan seperti khidmat porter dan dobi (sekiranya perlu) di hotel dan mana-mana perbelanjaan yang tidak termasuk di dalam harga pakej.

Ketiga
Bajet untuk waktu kecemasan. Bajet ini amat penting sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti kemalangan, sakit atau kematian contohnya anda mendapat demam panas dan perlu dimasukkan ke hospital. Anda perlu mendahulukan wang sendiri kepada pihak hospital sebelum pihak insurans membuat bayaran balik kepada anda. Kecemasan lain adalah seperti kehilangan dompet, duit dan passport semasa lawatan dan anda perlu membayar sendiri perbelanjaan pengangkutan dan penginapan tambahan kerana kecuaian anda.

Keempat
Bajet untuk lawatan pilihan atau tambahan seperti belajar bermain ski secara intensif dari jurulatih bertauliah Korea di Pyeongchang, melihat panorama menarik bandaraya Seoul dari Menara Seoul, persembahan komedi berirama Nanta, tiket masuk ke Lotte World, lawatan persendirian ke Busan dan lain-lain lagi di Korea. Walau bagaimanapun, lawatan-lawatan di dalam lawatan pilihan ini bukanlah kemestian kepada semua pelanggan dan pelanggan bebas membuat pilihan untuk turut serta atau sebaliknya. Lawatan pilihan lain adalah seperti menaiki belon udara panas di Cappadocia, Turki, lawatan ke pasar ikan Tsukiji, lawatan sehari di Kyoto dan Nara, lawatan Sumo dan lain-lain lagi di Jepun.



No comments:

Post a Comment

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...