Tuesday, February 19, 2019

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu 
(5 Hari 3 Malam)

Hari 1 Kundasang
  • Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
  • Bertolak ke Kundasang 
  • Lawatan ke Rumah Terbalik, Jambatan Tamparuli dan Pekan Nabalu, Taman Kinabalu
  • Daftar masuk dan bermalam di hotel
Hari 2 Kundasang
  • Sarapan pagi
  • Bertolak ke Ladang Teh Sabah
  • Melawat Tagal Sungai Moroli
  • Melawat Kolam Air Panas Poring
  • Berjalan di Jambatan Gantung (Canopy Walk)
  • Bersiar-siar di Pasar Kundasang
  • Bertolak ke Kota Kinabalu
  • Bermalam di hotel

Hari 3 Kota Kinabalu
  • Sarapan pagi
  • Bertolak ke Kampung Budaya Mari-mari
  • Makan tengah hari
  • Balik ke hotel 
  • Makan malam 
  • Bermalam di hotel

Hari 4 Kota Kinabalu
  • Sarapan pagi
  • Bertolak ke Jeti Jesselton
  • Bertolak ke Pulau Manukan
  • Makan tengah hari
  • Bertolak ke Pulau Sapi (aktiviti menyelam dan berenang)
  • Makan malam diiringi Persembahan Tarian Kebudayaan
  • Balik dan bermalam di hotel

Hari 5 Kota Kinabalu
  • Sarapan pagi
  • Daftar keluar hotel
  • Lawatan keliling bandar (Menara Tun Mustapha, Masjid Bandaraya,Pasar Filipina)
  • Makan tengah hari
  • Bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu


B. Lawatan Menakjubkan Kuching
(5 Hari 4 Malam)

Hari 1 Kuching
  • Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
  • Lawatan di sekitar bandar Kuching (Monumen Kuching, Muzium Sarawak, Kuil Tua Pek Kong, Kampung Melayu, China Town)
  • Makan malam di Restoran Makanan Laut
  • Bermalam di hotel

Hari 2 Kuching
  • Sarapan pagi
  • Melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Rumah Panjang Bidayuh Annah Rais, Kolam Air Panas
  • Makan tengah hari 
  • Melawat Pasar Malam Siniawan
  • Makan malam
  • Bermalam di hotel

Hari 3 Kuching
  • Sarapan pagi
  • Melawat Kampung Budaya Sarawak
  • Makan tengah hari
  • Melawat Kompleks Kubah Ria, Pusat Makanan Terpenting 101
  • Makan malam 
  • Bermalam di hotel
Hari 4 Kuching
  • Sarapan pagi
  • Melawat Bazar Utama, Pasar Serikin
  • Makan tengahari
  • Menaiki bot tradisional Sarawak
  • Makan malam
  • Bermalam di hotel
Hari 5 Kuching
  • Sarapan pagi
  • Lawatan bebas
  • Daftar keluar
  • Bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching


C. Korea (Pulau Jeju Dan Pulau Nami)
(8 Hari 6 Malam)

Hari 1 Kuala Lumpur / Hong Kong
  • Bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon
  • Transit di Hong Kong
  • Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon

Hari 2 Incheon / Pulau Nami/ Gunung Sorak
  • Tiba di Incheon dan meneruskan perjalanan ke Seoul
  • Bertolak ke Pulau Nami
  • Makan tengahari
  • Melawat Taman Negara Gunung Sorak di Kubu Kwongumsong dengan menaiki kereta kabel
  • Melawat Ladang Beruang Teddy 
  • Makan malam 
  • Daftar masuk hotel
  • Bermalam di Gunung Sorak

Hari 3 Seoul / Kubu Suwon Hwaseong
  • Sarapan pagi
  • Daftar keluar hotel
  • Bertolak ke Seoul untuk lawatan ke Kubu Suwon Hwaseong
  • Makan tengah hari
  • Membeli belah di Pasar Gwanjang
  • Makan malam
  • Daftar masuk hotel

Hari 4 Seoul / Taman Tema Everland
  • Sarapan pagi
  • Bertolak ke Taman Tema Everland
  • Melawat Sekolah Kimchi dan Pusat Hanbok (pakaian tradisional Korea)
  • Makan tengah hari
  • Membeli-belah ginsengdi Pusat Ginseng Negara dan batu 'Amethyst' di Pusat Permata ungu biru (Amethyst) 
  • Makan malam
  • Bermalam di Seoul

Hari 5 Seoul
  • Sarapan pagi
  • Melawat Stadium Piala Dunia 2002
  • Makan tengah hari
  • Membeli-belah di Pasar Namdaemun dan Pusat Fesyen Myeong Dong
  • Melawat Menara Seoul
  • Makan malam
  • Bermalam di Seoul

Hari 6 Seoul / Pulau Jeju
  • Sarapan pagi
  • Daftar keluar hotel
  • Lawatan ke Istana Kyongbok, Muzium Rakyat dan Rumah Biru Presiden
  • Makan tengah hari
  • Melawat Masjid Seoul
  • Bertolak ke Lapangan Terbang Gimpo (domestik)
  • Tiba di Pulau Jeju
  • Lawatan ke Batu Kepala Naga Yongduam dan Jalan Misteri

Hari 7 Pulau Jeju
  • Sarapan pagi
  • Daftar keluar hotel
  • Melawat Puncak Seongsan Ilhulbong dan Seopjikoji
  • Makan tengah hari
  • Melawat Kampung Rakyat Jeju Seongeup dan Air Terjun Cheonnijiyeon
  • Makan malam
  • Daftar masuk hotel
  • Bermalam di hotel

Hari 8 Pulau Jeju / Hong Kong / Kuala Lumpur
  • Sarapan pagi dan daftar keluar hotel
  • Melawat Kedai Makan Tempatan Korea
  • Bertolak ke Lapangan Terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur
  • Transit di Hong Kong
  • Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Sunday, February 17, 2019

Bab 1: Apa itu Visa?

Walaupun, agensi pelancongan sudah pastinya akan menguruskan semua urusan permohonan visa semua pelanggan-pelanggannya, adalah lebih baik jika kita tahu sedikit-sebanyak mengenai visa bagi menambahkan ilmu di dada dan dapat dimanfaatkan di masa-masa akan datang.

Tahukah anda yang kita perlu memohon visa untuk masuk ke negara-negara tertentu? Ada lebih 80 negara dari seluruh dunia yang mewajibkan penggunaan visa untuk masuk ke negara mereka. Negara-negara seperti Australia, China, Arab Saudi dan Amerika Syarikat mewajibkan pelancong-pelancong memohon visa dan mendapat kebenaran sebelum dibenarkan memasuki negara-negara tersebut.

Visa adalah dokumen yang dikeluarkan oleh sesebuah negara yang membenarkan seseorang untuk masuk ke negara terbabit, tinggal dalam jangkamasa yang dibenarkan contohnya 3 bulan atau 12 bulan dan untuk tujuan tertentu contohnya untuk lawatan, menunaikan haji atau umrah, perniagaan, bekerja, perubatan, penyelidikan, transit dan sebagainya. Visa biasanya dicop atau ditempel pada pemegang passport dan kadangkala dalam bentuk dokumen.

Visa terbahagi kepada beberapa kategori:-

1)  Visa Sekali Masuk 
     Visa yang membolehkan pemohon untuk masuk sekali sahaja ke negara tersebut dan
     terbatal dengan sendirinya sebaik sahaja pemohon meninggalkan negara yang 
     dikunjungi. Biasanya, jangkamasa tidak melebihi 3 bulan dari tarikh dikeluarkan.
     
2) Visa Dua Kali Masuk
     Visa yang membenarkan pemohon masuk dua kali ke negara tersebut dalam tempoh
     masa 6 bulan.

3) Visa Beberapa Kali Masuk
     Visa yang membenarkan pemohon untuk keluar masuk beberapa kali ke negara terbabit
     dalam jangkamasa waktu yang dibenarkan. Selalunya, tempoh masa yang dibenarkan
     adalah 6 hingga 12 bulan.

4) Visa Transit 
     Visa ini hanya membenarkan pemohon untuk singgah dalam waktu yang sangat singkat
     untuk ke destinasi yang seterusnya. Visa ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:-

     i) Tempoh kebenaran untuk berada di lapangan terbang yang sama selama 24 jam atau
     ii) Tempoh kebenaran untuk menukar terminal dan lapangan terbang dalam masa 48
         jam.

5) Visa Semasa Ketibaan /Visa On Arrival (VOA)
     Visa ini mewajibkan pemohon untuk memohon visa sebaik sahaja tiba di lapangan
     terbang negara yang dikunjungi. Semua urusan seperti beratur di kaunter visa, membuat
     pembayaran dan mendapatkan cop dan urusan tempel di dalam pasport perlu dilakukan
     sebelum melepasi pihak Imigresen. Contoh-contoh negara yang menawarkan visa ini
     adalah seperti Bahrain, Jordan, Maldives, Nepal dan Palau.

5) eVisa
    Aplikasi atas talian yang membolehkan pemohon iaitu warga asing untuk memohon visa
    secara dalam talian. Negara-negara seperti India, Kuwait, Myanmar, Malaysia, Sri Lanka
    dan Oman menyediakan kemudahan aplikasi ini.

Sebelum anda memohon visa, pastikan anda tahu tujuan anda memohon visa tersebut . Ini adalah bagi mengelakkan permohonan visa anda ditolak. Visa-visa lain yang sering dipohon adalah seperti Visa Pelancong, Visa Pelajar, Visa Pekerja, Visa Imigran, Visa Peniaga, Visa Diplomatik, Visa Umrah, Visa Haji dan berbagai-bagai visa lagi. 

Anda boleh memohon visa di Pejabat Kedutaan , Pejabat Konsulat atau secara dalam talian mengikut tatacara yang dibenarkan oleh sesebuah negara.


1. CONTOH PERMOHONAN VISA KE AUSTRALIA

Australia mempunyai sistem permohonan visa elektronik yang paling canggih di dunia pada ketika ini yang dikenali sebagai Visa Pihak Berkuasa Perjalanan Elektronik atau ETA (Electronic Travel Authority). Ia menggantikan label atau cop yang selalunya ditempel di dalam pasport. Pemohon hanya perlu mengisi borang permohonan yang ringkas yang mempunyai pautan dengan nombor pasport pemohon.

Sistem permohonan ini membenarkan pemohon masuk dan keluar berulang-kali dalam jangkamasa setahun ke Australia atas sebab pelancongan dan urusan perniagaan. Pemohon dibenarkan tinggal di Australia sehingga 3 bulan pada setiap kali lawatan.

Cara-cara memohon
1. Mengisi permohonan dalam talian    
    https://www.eta.homeaffairs.gov.au/ETAS3/etas
2. Masukkan maklumat pelancongan dan pasport pemohon
3. Membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau kad debit (AUD 20= RM 58.15)
4. Jangkamasa memproses ETA adalah lebih kurang 2 minggu.



2. CONTOH PERMOHONAN VISA KE CHINA

Langkah pertama adalah menentukan visa yang ingin dipohon sama ada:-

1. Visa sekali masuk iaitu masuk sekali sahaja ke China dan sah dalam masa 3 bulan
2. Visa dua kali masuk iaitu dua kali masuk dalam masa 6 bulan
3. Visa beberapa kali masuk iaitu beberapa kali masuk dalam masa 6 hingga 12 bulan.

Langkah kedua adalah mencetak borang visa China dan mengisi maklumat-maklumat yang diperlukan secara manual di http://www.china-embassy.org/eng/visas/fd/ web 

atau

mengisi maklumat yang diperlukan secara online dan mencetaknya setelah selesai
di https://www.pdffiller.com/jsfiller-desk10/?projectId=265848965&expId=4512&expBranch=1#cd25da3a0b3a4baf8f580463e8eca11f 

Langkah ketiga adalah menyediakan dokumen-dokumen sokongan:-
1. Bawa borang visa yang telah diisi dan dicetak
2. Bawa salinan pasport butiran muka hadapan
3. Bawa pasport asal dengan tarikh sah pasport 6 bulan dari tarikh tiba di Malaysia dan
    mempunyai sekurang-kurangnya 2 muka surat kosong di bahagian belakang pasport
4. 2 keping gambar pasport berlatar-belakangkan warna putih
5. Salinan tiket penerbangan pergi dan balik
6. Salinan tempahan tempat penginapan (hotel, asrama, rumah tumpangan dan
    sebagainya) atau mengisi terus maklumat penginapan dalam borang permohonan visa
7. Salinan surat beranak (untuk anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun)

Langkah keempat adalah membawa kesemua dokumen untuk permohonan visa ke alamat berikut:-

Chinese Visa Application Service Centre Kuala Lumpur
Tingkat 5 (permohonan) / Tingkat 6 (Kutipan)
Hampshire Place Office
Jalan Mayang Sari
50450 Kuala Lumpur

Waktu urusan (permohonan)  : Isnin hingga Jumaat (9.00am hingga 3.00pm)
Waktu urusan (Kutipan)          : Isnin hingga Jumaat (9.00am hingga 4.00pm)


Bayaran permohonan visa ditentukan oleh jenis visa yang dipohon dan siap dalam masa 4 hari. Anda boleh juga memohon proses visa dalam masa 3 atau 2 hari dengan bayaran tambahan.



Jadual Bayaran Visa ke China (berkuatkuasa 1 Jun 2018)
https://www.visaforchina.org/KUL_EN/yyxz/264516.shtml



Warganegara
Jenis Visa
Jumlah Bayaran /Seorang (RM)


        Biasa
(4 hari bekerja)
     Ekspres
(3 hari bekerja)
 Paling pantas
(2 hari bekerja)


Sekali masuk

100
235
310

Dua kali masuk

120
255
330
Malaysia
Beberapa kali masuk
(tempoh masa 6 bulan)


150

285

360

Beberapa kali masuk
(tempoh masa 12 bulan)


190

325

400



Thursday, February 14, 2019

Bab 1: Memilih Agensi Pelancongan Yang Tepat


Wah! Susah benar memilih agensi pelancongan. Agensi pelancongan yang manakah yang patut dipilih? Mungkin inilah kata-kata yang sering bermain-main di kotak minda kita apabila tiba masa dan waktu yang sesuai untuk kita 'makan angin' sama ada di dalam atau di luar negara.

Bagaimana memilih agensi pelancongan yang tepat bagi mengendalikan percutian anda? Sebanyak 6598 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Budaya Malaysia direkodkan sehingga ke hari ini. Saya berikan sedikit tip untuk anda dalam membuat pilihan yang tepat.

1.      Senaraikan beberapa agensi pelancongan, buat sedikit penyelidikan latar belakang syarikat di dalam talian 

2    Pilih syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan telah berpengalaman mengendalikan grup pelancong-pelancong tempatan. Anda boleh melayari laman web agensi-agensi pelancongan ini bagi menyemak aktiviti syarikat. Ini juga menjimatkan masa kerana anda tidak perlu pergi ke setiap premis agensi pelancongan bagi mendapatkan maklumat setiap syarikat.

3.      Semak ulasan atau maklumbalas dalam ruangan ulasan di laman web agensi pelancongan terbabit. Anda perlu memilih syarikat yang mempunyai ulasan dan reputasi yang positif supaya anda yakin sepenuhnya dan mengambil iktibar dari pengalaman orang lain yang pernah mengikuti pakej-pakej pelancongan agensi pelancongan tersebut sebelum ini.

4.     Teliti tawaran dalam pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan. Bandingkan itinerari atau program lawatan, harga dan servis tambahan yang disediakan. Sebenarnya, harga sesebuah pakej pelancongan ditentukan oleh jenis penerbangan, taraf dan lokasi hotel penginapan, jenis pengangkutan sama ada bas persiaran, van persiaran atau pengangkutan awam yang digunakan, restoran dan makanan yang disediakan, tempat-tempat lawatan yang percuma atau berbayar, jangkamasa lawatan, harga insurans yang ditetapkan mengikut pelan-pelan yang dipilih dan tip pemandu pelancong tempatan yang dikenakan untuk servis mereka sepanjang lawatan.

5.      Pilih agensi pelancongan yang stabil dan mempunyai status kewangan yang kukuh supaya sekiranya sebarang masalah atau kejadian yang di luar jangkaan berlaku seperti pembatalan penerbangan atas sebab cuaca buruk atau masalah teknikal, syarikat pelanongan ini akan bertanggungjawab sepenuhnya menyediakan pengangkutan,penginapan, aktiviti dan makan-minum tambahan untuk bilangan jam atau hari-hari yang ditambah.

Akhir sekali, dengan semua maklumat yang diperolehi, seelok-eloknya anda menghadiri Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) pada bulan Mac dan September di PWTC, Kuala Lumpur. Selalunya, berbagai promosi, diskaun dan tawaran menarik ditawarkan sekiranya mendaftar semasa berlangsungnya MATTA Fair. Ia juga adalah peluang untuk berjumpa secara bersemuka dengan pegawai-pegawai dari agensi-agensi pelancongan yang terlibat bagi mendapatkan maklumat tambahan dan kepastian sebelum membuat sebarang keputusan.



Monday, February 11, 2019

Bab 3: Pembahagian Bajet

Anda adalah seorang pelancong yang sangat bijak sekiranya anda merancang percutian dengan baik sebelum memulakan perjalanan melainkan anda adalah seorang jutawan! Bagaimana membuat pembahagian bajet supaya tiada masalah serius yang timbul dan anda dapat menikmati percutian anda dengan gembira dan tenang?

Bajet percutian anda terbahagi kepada empat:-

Pertama
Bajet yang merangkumi perbelanjaan keseluruhan sesebuah pakej percutian contohnya pakej Korea 5 hari 4 malam berharga RM 3400 untuk seorang dewasa, pakej Xian-Beijing 7 hari 5 malam berharga RM 3500 seorang, pakej Dubai Abu Dhabi 6 hari 4 malam berharga RM4600 seorang dan  lain-lain lagi. Harga ini termasuklah perbelanjaan tiket pergi dan balik ke destinasi pilihan, elaun bagasi sebanyak 30kg seorang, penginapan termasuk sarapan di hotel bertaraf 3, 4 atau 5 bintang, pengangkutan pergi dan balik dari lapangan terbang ke hotel dan sebaliknya, pengangkutan semasa lawatan, makan tengahari dan malam di restoran tempatan, tiket masuk ke semua tempat lawatan, tip untuk pemandu pelancong tempatan, insurans perjalanan (pelan VIP atau pelan biasa) dan tambahan elaun beg kabin sebanyak 7 kg seorang. Harga pakej mestilah harga keseluruhan kos yang disebut tadi dan pastikan tiada kos-kos tersembunyi yang tidak disebut di dalam perjanjian.

Kedua 
Bajet untuk perbelanjaan membeli barangan keperluan sendiri contohnya makanan dan minuman tertentu seperti kimchi, coklat, ginseng atau batu pertama amethyst, pakaian, gajet dan aksesori telefon bimbit, cenderamata seperti rantai kunci atau aksesori magnet peti sejuk, kerongsang dan barangan kosmetik di Korea, pati bunga ros, oren dan kekacang di Morocco, produk minyak zaitun di Sepanyol, pinggan seramik dan produk kulit kambing Anggora di Turki dan servis-servis tambahan seperti khidmat porter dan dobi (sekiranya perlu) di hotel dan mana-mana perbelanjaan yang tidak termasuk di dalam harga pakej.

Ketiga
Bajet untuk waktu kecemasan. Bajet ini amat penting sekiranya berlaku sebarang kecemasan seperti kemalangan, sakit atau kematian contohnya anda mendapat demam panas dan perlu dimasukkan ke hospital. Anda perlu mendahulukan wang sendiri kepada pihak hospital sebelum pihak insurans membuat bayaran balik kepada anda. Kecemasan lain adalah seperti kehilangan dompet, duit dan passport semasa lawatan dan anda perlu membayar sendiri perbelanjaan pengangkutan dan penginapan tambahan kerana kecuaian anda.

Keempat
Bajet untuk lawatan pilihan atau tambahan seperti belajar bermain ski secara intensif dari jurulatih bertauliah Korea di Pyeongchang, melihat panorama menarik bandaraya Seoul dari Menara Seoul, persembahan komedi berirama Nanta, tiket masuk ke Lotte World, lawatan persendirian ke Busan dan lain-lain lagi di Korea. Walau bagaimanapun, lawatan-lawatan di dalam lawatan pilihan ini bukanlah kemestian kepada semua pelanggan dan pelanggan bebas membuat pilihan untuk turut serta atau sebaliknya. Lawatan pilihan lain adalah seperti menaiki belon udara panas di Cappadocia, Turki, lawatan ke pasar ikan Tsukiji, lawatan sehari di Kyoto dan Nara, lawatan Sumo dan lain-lain lagi di Jepun.



Tuesday, February 5, 2019

Bab 1: Kebaikan Menggunakan Agensi Pelancongan

Urusan merancang dan menguruskan sesebuah percutian memerlukan kesabaran yang tinggi, ketelitian dan kesungguhan melakukannya dengan baik dan teratur. Bukannya mudah untuk merancang dan menguruskan percutian keluarga, sahabat-sahabat sekolah lama, jiran-tetangga, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan kelab atau persatuan, jemaah-jemaah surau atau masjid dan sebagainya. Kita perlu memastikan percutian tersebut menyeronokkan dengan mengambil kira isu keselesaan dari berbagai peringkat umur, program atau itinerari yang sesuai, kos yang munasabah dan langkah yang patut diambil sekiranya berlaku kecemasan semasa lawatan terutamanya yang melibatkan lawatan di luar negara. Kita mungkin 'terlepas pandang' isu-isu kecil seperti dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum, semasa dan selepas lawatan, kos-kos tersembunyi, tempat-tempat lawatan dan restoran-restoran yang menarik yang hanya diketahui oleh pemandu-pemandu pelancong tempatan dan lain-lain lagi.

Mengapa kita memilih menggunakan agensi pelancongan? Apakah kebaikan-kebaikan menggunakan agensi pelancongan sebagai alternatif utama dalam merancang percutian kita?

Menjimatkan masa
Urusan lawatan diuruskan 100% oleh agensi pelancongan yang berpengalaman dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tugas kita hanyalah fokus mendapatkan maklumat-maklumat dan dokumen yang diperlukan contohnya maklumat peribadi dan pasport semua ahli keluarga, rakan-taulan, ahli-ahli kelab dan persatuan, jemaah-jemaah surau dan masjid dan lain-lain lagi. Pegawai-pegawai di agensi pelancongan akan membantu dari segi mendapatkan maklumat tambahan sekiranya diperlukan, mengingatkan tarikh memperbaharui pasport dan menyampaikan tip dan nasihat sebelum dan semasa lawatan dalam grup-grup perbincangan di media-media sosial seperti 'whatsapp' atau 'telegram'. Sebarang kemusykilan dan pertanyaan boleh diajukan di dalam grup ini bagi mendapatkan kepastian. Kita juga dapat menjimatkan masa dari segi bilangan tempat lawatan yang dilawati. Dalam 10 hari dan 7 malam, kita dapat melawat 8 bandar di Turki, 12 hari dan 9 malam pula melawat 6 buah negara di Eropah, 12 hari dan 9 malam merangkumi Morocco, Sepanyol dan Portugis. Di Korea pula, kita dapat bergembira bermain ski di Pyeongchang, melihat keindahan alam di Gunung Sorak, makan makanan laut yang segar di Pulau Jeju dan balik semula ke Seoul. Kos pengangkutan dan lojing sudah pasti dapat dijimatkan.

Selesa
Agensi pelancongan yang berpengalaman dan berdaftar, sudah pastinya akan menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan mereka. Mereka akan menyediakan pengangkutan dan penginapan yang selesa dan membawa pelanggan-pelanggan mereka makan di restoran-restoran yang menyediakan makanan tempatan yang bersih, lazat dan menyelerakan.

Menjimatkan kos
Seringkali saya terdengar rungutan pelancong Malaysia yang mengatakan jumlah kos menggunakan khidmat agensi pelancongan adalah tinggi dan merugikan. Setujukah anda dengan pendapat mereka? Sebelum kita bersetuju bulat-bulat tanpa usul periksa, cuba kita lakukan sedikit pengiraan dan penyelidikan yang mudah. Bayangkan anda ingin melancong ke 8 bandar di Turki selama 10 hari 7 malam. Harga pakej yang dikenakan oleh mana-mana agensi pelancongan adalah di antara RM 4300 hingga RM 4500 seorang. Kos ini termasuklah kos penerbangan pergi dan balik, makan dan minum tiga kali sehari, pengangkutan bas pergi dan balik ke lapangan terbang dan tempat-tempat lawatan, tiket masuk ke semua tempat lawatan, penginapan selesa di hotel-hotel bertaraf 3 dan 4 bintang, perkhidmatan pemandu pelancong dan Ketua Rombongan yang berpengalaman dan berpengetahuan luas, tip pemandu pelancong dan insurans perjalanan. Jika kita melancong sendiri pula,kita perlu memikirkan kos penerbangan pergi dan balik di antara RM2500 hingga RM2800 mengikut tarikh dan musim, kos penginapan di hotel ekonomi di antara RM200 hingga RM250 semalam, kos pengangkutan ke semua 8 bandar dan tempat-tempat lawatan, makan dan minum, tiket masuk ke semua tempat-tempat lawatan dan sebagainya. Silap-silap, boleh mencecah ke angka RM10000 seorang. 

Berpengetahuan dan berpengalaman luas

Agensi pelancongan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai tempat-tempat lawatan atau negara-negara yang dilawati. Mereka melakukan proses mengemaskini produk dari masa ke semasa supaya maklumat-maklumat yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka adalah tepat dan diyakini. Maklumat juga diperolehi melalui borang-borang maklumbalas yang diedarkan kepada pelanggan-pelanggan mereka mengenai tempat penginapan, restoran-restoran, tempat-tempat lawatan, pengangkutan yang digunakan, pemandu pelancong tempatan, pemandu bas atau van dan lain-lain bagi tujuan memperbaiki servis syarikat.

Waktu solat
Umat Islam wajib mengerjakan solat walau di mana jua mereka berada, sama ada di dalam atau di luar negara, di dalam bas, kapal atau kapal terbang dan wajib solat walau dalam apa jua keadaan. Agensi pelancongan muslim sudah semestinya memperuntukkan waktu solat di dalam program atau itinerari mereka. Kadang-kadang kita akan bersolat di 'musolla-musolla' yang disediakan di restoran-restoran tersebut dan kadangkala pula di masjid-masjid atau di surau-surau di sekitar bandar yang dilawati.

Kidmat Pemandu Pelancong dan Ketua Rombongan

Agensi pelancongan juga menyediakan khidmat Pemandu Pelancong dan Ketua Rombongan yang dapat menyampaikan maklumat dan memastikan perjalanan lawatan lancar dan menyeronokkan. Tugas Pemandu Pelancong tempatan adalah menyampaikan maklumat contohnya sejarah, budaya dan adat resam, aktiviti dan berita terkini serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di negara mereka. Mereka juga memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan mereka terjamin sepanjang lawatan tersebut.  Tugas Ketua Rombongan pula adalah memastikan perjalanan lawatan lancar mengikut perjanjian antara agensi pelancongan di Malaysia dan luar negara, menyampaikan maklumat-maklumat tambahan seperti waktu solat, waktu berkumpul di lobi, waktu makan, kiblat dan sebagainya. Mereka juga dalam mod bersedia sekiranya berlaku sebarang kecemasan contohnya kemalangan atau kematian. Merekalah yang akan menguruskan kemasukan anda ke hospital atau ke pejabat-pejabat kedutaan sekiranya berlaku kematian atau kehilangan pasport. Oleh yang demikian, peranan mereka adalah sama penting walaupun Ketua Rombongan seringkali dilupakan kewujudannya. Berbagai-bagai tip juga boleh diperolehi dari mereka yang berpengalaman.

Makanan halal
Agensi pelancongan muslim yang baik dan bertanggung-jawab, sudah semestinya akan membawa pelanggan-pelanggan mereka ke restoran-restoran yang menyediakan makanan yang bersih dan halal. Selalunya, tiga kali waktu makan iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam disediakan kepada semua pelanggan mereka. Pelanggan-pelanggan selalunya akan bersarapan di hotel penginapan dan dibawa ke restoran-restoran halal untuk makan tengahari dan makan malam. Oleh yang demikian, kita tidak perlu terkocoh-kocoh mencari restoran halal setiap kali tiba waktu makan. 

Berjumpa kawan baru
Perkara yang paling menarik pada pendapat saya adalah dapat berjumpa rakan-rakan baru dan mengeratkan silatulrahim semasa lawatan. Semua peserta dapat mengenali dengan lebih dekat rakan-taulan, jiran-tetangga, ahli-ahli kelab dan persatuan, jemaah-jemaah masjid dan sebagainya semasa lawatan sambil berseronok bersama keluarga masing-masing. Kadangkala, di sinilah kita bertemu rakan niaga, rakan memancing, rakan melancong, rakan 'teh tarik', rakan berbasikal, rakan menulis dan sebagainya.

Sesuai untuk orang-orang tua dan kanak-kanak
Adalah sangat tidak sesuai menyuruh orang-orang tua terutamanya yang uzur, sakit lutut dan bertongkat serta kanak-kanak kecil menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan keretapi bawah tanah untuk ke tempat-tempat lawatan. Kadang-kadang, tempat lawatan terletak agak jauh dari pintu masuk dan menambahkan bilangan kilometer untuk menapak ke sana. Lebih teruk lagi, jika cuaca pada waktu tersebut terlalu sejuk atau panas di negara yang dilawati. Silap-silap, ada peserta yang pitam dan dimasukkan ke hospital.

Berkongsi berat bagasi
Tahukah anda yang penduduk Malaysia sangat suka membeli-belah? Kadang-kadang , ada yang hanya membawa dua beg bagasi semasa bertolak dan pulang dengan empat atau lima beg bagasi penuh yang tidak termasuk beg kabin. Suasana ini akan saya lihat apabila membawa rombongan ke Vietnam, China, Turki, Morocco dan negara-negara Asia Tengah. Sekiranya anda melancong sendiri, sudah pastinya anda terpaksa membayar harga lebihan bagasi sendirian berbanding melancong dengan agensi pelancongan yang peserta-pesertanya dapat berkongsi dan membantu terutama mereka yang pergi dengan bilangan ahli keluarga yang ramai dan tidak banyak membeli-belah. Berat bagasi yang dibenarkan adalah berbeza mengikut jenis penerbangan yang ditempah oleh agensi pelancongan. Ada yang 20kg ,25kg, 30kg seorang dan sebagainya.







    


Monday, February 4, 2019

Bab 5: Melancong Dengan Gembira

Apabila anda pergi melancong, tentu sekali anda menginginkan percutian yang menyeronokkan dan meninggalkan pengalaman manis buat anda dan insan-insan tersayang. Nasihat saya adalah merancang percutian anda sebaik-baiknya dan menyerahkan kepada takdir setelah semua perancangan dibuat dengan teliti dan bukanlah sebaliknya.

Tujuan kita melancong adalah untuk merehatkan minda setelah berhempas pulas di pejabat dan di rumah menguruskan keluarga. Ia juga bertujuan bagi merapatkan silatulrahim sesama ahli keluarga, sahabat handai dan peserta-peserta lain yang mengikuti pakej pelancongan tersebut. Ajal maut semuanya di tangan Allah s.w.t, mana tahu inilah perjalanan terakhir kita bersama keluarga tercinta sebelum kita atau ahli keluarga yang lain dijemput Allah s.w.t. Dari pengalaman saya yang lalu bersama pasangan suami-isteri yang cukup baik, bertimbang-rasa, 'sporting' dan 'happy go lucky' ini, isterinya yang saya panggil 'kak Sherry' telah meninggal dunia pada tahun berikutnya setelah balik dari Korea dengan rombongan kami. Alhamdulillah, saya sempat menziarahi beliau semasa beliau dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi di HUKM. Beliau meninggal dunia sebaik sahaja balik dari mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Semoga Allah s.w.t mengangkat darjatnya dan meletakkan rohnya di kalangan para solihin, amin. Doa yang sama juga saya panjatkan untuk jemaah umrah saya bernama Puan Azlina. Terkedu mendengar pemergiannya dalam media sosial kerana arwah kelihatan sihat, bertenaga dan gembira semasa saya menghantar beg bagasi umrah di pejabat beliau. Situasi-situasi dan pengalaman-pengalaman ini cukup menginsafkan saya.

Mengapa kita perlu membuat persediaan sebelum melancong?

Jawapan mudah bagi soalan ini adalah tentu sekali untuk mengelakkan situasi-situasi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan sepanjang lawatan. Contohnya, anda melancong pada musim sejuk dan suhu pada waktu itu adalah -5°C. Anda terlupa membawa jaket musim sejuk dan hanya memakai baju T sepanjang 9 hari perjalanan di sana. Sudah tentu anda menggigil kesejukan kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk dan lebih teruk lagi jika bibir anda merekah, kering dan berdarah kerana anda tidak membawa pelembap bibir, selendang tebal yang membalut leher dan kasut yang sesuai. Anda mungkin akan batuk-batuk, sakit tekak, demam, sengal badan, alergi dan lebih teruk lagi mendapat hipotermia.

Kita juga membuat persediaan agar perjalanan kita lancar. Kita dapat belajar sesuatu apabila otak kita tenang tanpa diganggu dengan isu remeh-temeh. Sikap kita juga turut menjadi positif dan banyak ilmu dan pengalaman yang dapat dikutip contohnya budaya dan adat resam, makanan ruji, bahasa pertuturan penduduk setempat dan sebagainya.

Apabila kita membuat persediaan awal, kita juga menjadi tenang menerima sebarang kemungkinan atau musibah yang Allah s.w.t turunkan contohnya penerbangan lewat atau tertunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, makanan yang tidak menepati citarasa, cuaca yang tidak mengizinkan yang menyebabkan aktiviti menaiki belon udara panas terpaksa dibatalkan pada hari yang dijadualkan, perjalanan yang lama dari satu destinasi ke destinasi yang lain menggunakan perkhidmatan bas yang cukup melenguhkan atau aktiviti ke Taman Tema terpaksa dibatalkan kerana cuaca terlalu sejuk dan berkabus. 

Kesimpulannya di sini, kita perlu membuat persediaan terlebih dahulu secara emosi dan fizikal sebelum kita melancong agar percutian kita menggembirakan dan menyeronokkan. Duit yang kita laburkan juga terasa berbaloi dan tidak akan teragak-agak untuk merancang percutian yang seterusnya. Paling penting, kita tidak akan melatah apabila berlaku sebarang dugaan dan menyelesaikannya dengan bijak dan tenang.

Sunday, February 3, 2019

Bab 3: Mengurus Bajet

Berapakah bajet percutian anda? Berapa harga yang anda mampu bayar? Apakah langkah anda bagi memastikan perbelanjaan untuk percutian anda tidak melebihi bajet yang anda peruntukkan?

Langkah-langkah yang anda perlu buat adalah:-
1) Pilih destinasi pelancongan yang anda hajati, senaraikan sekurang-kurangnya 3 opsyen 
    destinasi idaman.

2) Kaji kemampuan diri sendiri dan tetapkan bajet untuk harga seorang ahli keluarga yang
    anda mampu bayar contohnya RM 2000, RM3000 atau RM 4000 seorang.

3) Menghadiri Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair)
    yang  diadakan di beberapa negeri di seluruh negara dan yang terbesar adalah
    di PWTC, Kuala Lumpur yang diadakan pada bulan Mac dan September.

4) Membandingkan harga-harga pakej pelancongan antara satu syarikat dengan syarikat
    pelancongan yang lain dengan bijak dan adil. Taraf dan lokasi hotel penginapan, jenis          pengangkutan yang digunakan, makan-minum yang disediakan, itinerari atau program          lawatan serta jenis insurans yang ditawarkan. Jangan lupa juga, jumlah bilangan hari            pakej pelancongan yang dibandingkan.

5) Pilih pakej pelancongan dari syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan
    dan Kebudayaan Malaysia, syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang stabil dan          cemerlang mengendalikan percutian pelanggan-pelanggan mereka.

6) Menyenaraikan keperluan masing-masing supaya tidak berlaku pembaziran dan
    pengeluaran yang berlebihan sebelum dan semasa percutian

7) Kawal perbelanjaan anda. 


Soalan utama yang anda perlu ajukan kepada diri sendiri dan melalui perbincangan dengan ahli keluarga ialah negara mana yang anda ingin lawati? Negara mana yang telah berjaya menambat hati anda sekeluarga? Mengapa anda memilih lokasi tersebut?


Contoh:

Negara yang dihajati adalah Korea, Australia dan Turki

Bajet antara RM 3500 hingga RM4000 seorang termasuk semua kos semasa lawatan

Perbandingan harga antara 3 syarikat terkenal di Malaysia (Syarikat A, Syarikat B dan Syarikat C)


Nama Syarikat
Korea
(Hari dan RM)
Australia
(Hari dan RM)
Turki
(Hari dan RM)
Syarikat A
7 Hari 6 Malam
RM4099
Tiada
9 Hari 7 Malam
RM 4000

Syarikat B
5 Hari 4 Malam
RM 3298 / RM 3398 / RM 3598
(harga mengikut tarikh yang telah ditetapkan)

6 Hari 4 Malam
RM 3498
4 Hari 3 Malam
RM 4398 (Sydney)

4 Hari 3 Malam
RM 3798 (Melbourne)
6 Hari 3 Malam
RM 3398

11 Hari 8 Malam
RM 3998 / RM 4398
(harga mengikut tarikh yang telah ditetapkan)

10 Hari 8 Malam
RM 4598 / RM 4698
(harga mengikut tarikh yang telah ditetapkan

 Syarikat C
Korea (Ekonomi)
5 Hari 3 Malam
RM 2988

Korea Saigon
(Ekonomi)
6 Hari 4 Malam
RM 3288

Korea Jeju (Ekonomi)
8 Hari 6 Malam
RM 5299

Korea Brunei
6 Hari + 3 + 1 Malam
RM 3198


6 Hari 5 Malam
RM 4999 (Perth)
Turki Kusadasi
11 Hari 8 Malam
RM 4699

Turki (lawatan Tulip)
10 Hari 7 Malam
RM 4498 / RM 4198 (harga mengikut tarikh yang telah ditetapkan)

Turki (Ekonomi)
10 Hari 8 Malam
RM 4488

Turki
10 Hari 7 Malam
RM4699

Turki (Laut Hitam)
10 Hari 7 Malam
RM 6399

Istanbul & Bursa (Ramadan)
7 Hari 4 Malam
RM3798



Nota: Anda boleh menukar nama negara dan nama syarikat mengikut pilihan destinasi masing-masing.

Dari pengalaman saya yang lalu membawa kumpulan pelancong dari Malaysia ke negara-negara tersebut, kos lawatan ke Australia tidak termasuk makan tengahari dan makan malam. Walau bagaimanapun, syarikat B telah bermurah hati menanggung kos ketiga-tiganya pada hari pertama dan terakhir semasa lawatan ke Australia.

Walaupun Syarikat A dan B tidak menyenaraikan banyak nama pakej, tarikh-tarikh yang disenaraikan di dalam pakej mereka merangkumi berbagai tarikh sepanjang tahun tersebut. Ini termasuklah tarikh-tarikh pada musim sejuk, musim bunga, musim panas dan musim luruh. Lawatan-lawatan mereka termasuklah lawatan melihat Taman Tulip, Kusadasi, Pamukkale, Cappadocia dan lain-lain lagi.  Anda boleh melihat perbezaan sebenar dengan membandingkan itinerari-itinerari atau program lawatan mereka.

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...