Saturday, February 2, 2019

Bab 4: Tip Penginapan

Pelanggan-pelanggan yang memilih untuk melancong menggunakan khidmat agensi pelancongan sudah tentu tidak perlu 'pusing kepala' untuk menempah penginapan sebelum berangkat ke destinasi pilihan sama ada di dalam atau di luar negara. Pakej pelancongan ekonomi yang disediakan oleh agensi pelancongan selalunya adalah  penginapan hotel bertaraf 3 atau 4 bintang manakala pakej orang kenamaan atau VIP pula akan menyediakan penginapan bertaraf 5,6 atau 7 bintang mengikut permintaan pelanggan.

Salah satu faktor utama yang mempengaruhi harga pakej pelancongan adalah jenis penginapan dan taraf hotel yang digunakan oleh pelanggan-pelanggan mereka. Taraf hotel yang dimaksudkan adalah sama ada hotel pilihan bertaraf 3 bintang, 4 bintang, 5 bintang, 6 bintang atau 7 bintang.

Kita perlu pandai membezakan antara pakej pelancongan ekonomi dan pakej pelancongan bajet. Penginapan yang disediakan oleh pakej pelancongan bajet adalah seperti rumah tumpangan (guesthouse), rumah inap desa (homestay), asrama dan hotel-hotel murah.

Selain jenis penginapan ,lokasi tempat penginapan juga mempengaruhi harga pakej pelancongan. Harga hotel akan meningkat sekiranya ia terletak di dalam dan berdekatan pusat-pusat bandar, berdekatan pusat-pusat komersial, bersebelahan pantai-pantai terkenal, terletak di atas bukit  atau gunung yang mempunyai panorama yang indah dan menarik dan berbagai fasiliti yang disediakan seperti kolam renang yang cantik dan luas, gimnasium, pusat spa dan banyak lagi.

Sekiranya kita melancong ke negara-negara yang tidak mempunyai ramai penduduk Islam, tentu sukar bagi kita mendapatkan produk-produk halal yang diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam di luar negara. Oleh yang demikian, kita perlu mengingatkan agensi-agensi pelancongan ini, memastikan agar hotel-hotel yang akan digunakan kelak, menyediakan sarapan, makan tengahari dan makan malam berkonsepkan 'makanan antarabangsa' atau 'International Buffet'. Sesetengah hotel memang menyediakan seksyen khas, makanan halal untuk orang-orang Islam.

Keadaan ini berbeza sekiranya kita menggunakan khidmat agensi pelancongan muslim yang telah sedia maklum keperluan orang-orang Islam. Selalunya, kita akan bersarapan di hotel dan makan tengah hari dan makan malam di restoran-restoran halal berdekatan. 'Makanan antarabangsa' yang dimaksudkan adalah penyediaan pelbagai jenis makanan termasuklah makanan alternatif seperti roti dan ban, telur, mentega, jem, sayur-sayuran dan buah-buahan. Selalunya, Ketua Rombongan yang mengikuti rombongan anda akan mengingatkan anda untuk membawa makanan sampingan seperti 'serunding', sambal ikan bilis, lauk-pauk ekspres yang telah siap di pek mengikut piawaian antarabangsa contohnya keluaran Brahim's, sos, minuman kegemaran dan lain-lain untuk digunakan pada waktu-waktu kecemasan. Adalah dinasihatkan untuk kita menggunakan khidmat agensi pelancongan yang berpengalaman agar dapat menangani sebarang kesulitan dengan bijak dan bertanggungjawab.



No comments:

Post a Comment

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...