Friday, February 1, 2019

Bab 1 Persediaan Asas

Seronoknya melihat gambar rakan-taulan, saudara-mara dan jiran-tetangga yang melancong ke sana-sini dengan keluarga tersayang di media-media sosial dan pastinya kita juga mengimpikan percutian yang menyeronokkan bersama keluarga dan melihat sendiri keindahan negara orang sambil menambah ilmu di dada. Pepatah ada berbunyi, "banyak berjalan luas pandangan."

Sekiranya, kita telah bersedia untuk melancong, apakah langkah yang seterusnya perlu dilakukan untuk merealisasikan hasrat hati?

Dilema yang sering dihadapi oleh kita ialah sama ada kita perlu menguruskan percutian secara sendiri atau menggunakan khidmat agensi pelancongan yang sedia ada. Kalau kita menguruskan percutian secara sendiri bermakna kita bertanggungjawab menguruskan percutian dari A hingga Z. Bermula dari penempahan tiket penerbangan, hotel penginapan, pengangkutan pergi dan balik ke lapangan terbang dan semasa lawatan, makan dan minum sekurang-kurangnya dua kali sehari di restoran-restoran halal, bayaran masuk ke tempat-tempat lawatan, insurans perjalanan dan lain-lain lagi semasa kita di sana. Mampukah kita berbuat demikian?

Sekiranya kita memilih untuk menggunakan khidmat agensi pelancongan, ini bermakna kita hanya 'cuci tangan' kerana urusan tempahan tiket penerbangan, hotel penginapan, pengangkutan, makan dan minum, insurans perjalanan, bayaran masuk ke tempat-tempat lawatan diuruskan sepenuhnya oleh agensi pelancongan.

Kata sahabat-sahabat yang mengenali, adalah lebih murah dan menjimatkan menguruskan sendiri percutian atas sebab-sebab seperti:-
a) Menempah sendiri tiket-tiket penerbangan mengikut tarikh-tarikh yang
    dikehendaki pada waktu-waktu promosi,
b) Menginap di hotel-hotel bajet atau rumah-rumah tumpangan,
c) Makan seadanya atau bawa serunding, sambal ikan bilis, mi segera, kerepek,
    minuman 3 dalam 1 dari Malaysia,
d) Menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan keretapi bawah tanah di 
    negara yang dilawati,
e) Membuat bayaran masuk tempat-tempat lawatan secara atas talian,
f)  Tidak terkejar-kejar masa mengikut itinerari yang disediakan oleh agensi pelancongan.

Sejauh manakah kebenarannya? Bagaimana sekiranya timbul masalah yang tidak dijangka? Contohnya, penerbangan yang terpaksa ditunda kerana cuaca yang tidak mengizinkan atau disebabkan situasi-situasi tertentu. Apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian? Lokasi tempat lawatan yang agak jauh ke dalam dari pintu masuk dan tiada cara lain selain berjalan untuk sampai ke sana. Sesuaikah untuk kanak-kanak dan orang-orang tua yang uzur? Lokasi restoran-restoran halal yang agak jauh dan memenatkan apabila menggunakan pengangkutan awam. Tepuk dada tanyalah selera.






No comments:

Post a Comment

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...