Tuesday, February 5, 2019

Bab 1: Kebaikan Menggunakan Agensi Pelancongan

Urusan merancang dan menguruskan sesebuah percutian memerlukan kesabaran yang tinggi, ketelitian dan kesungguhan melakukannya dengan baik dan teratur. Bukannya mudah untuk merancang dan menguruskan percutian keluarga, sahabat-sahabat sekolah lama, jiran-tetangga, rakan-rakan sekerja, rakan-rakan kelab atau persatuan, jemaah-jemaah surau atau masjid dan sebagainya. Kita perlu memastikan percutian tersebut menyeronokkan dengan mengambil kira isu keselesaan dari berbagai peringkat umur, program atau itinerari yang sesuai, kos yang munasabah dan langkah yang patut diambil sekiranya berlaku kecemasan semasa lawatan terutamanya yang melibatkan lawatan di luar negara. Kita mungkin 'terlepas pandang' isu-isu kecil seperti dokumen-dokumen yang diperlukan sebelum, semasa dan selepas lawatan, kos-kos tersembunyi, tempat-tempat lawatan dan restoran-restoran yang menarik yang hanya diketahui oleh pemandu-pemandu pelancong tempatan dan lain-lain lagi.

Mengapa kita memilih menggunakan agensi pelancongan? Apakah kebaikan-kebaikan menggunakan agensi pelancongan sebagai alternatif utama dalam merancang percutian kita?

Menjimatkan masa
Urusan lawatan diuruskan 100% oleh agensi pelancongan yang berpengalaman dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tugas kita hanyalah fokus mendapatkan maklumat-maklumat dan dokumen yang diperlukan contohnya maklumat peribadi dan pasport semua ahli keluarga, rakan-taulan, ahli-ahli kelab dan persatuan, jemaah-jemaah surau dan masjid dan lain-lain lagi. Pegawai-pegawai di agensi pelancongan akan membantu dari segi mendapatkan maklumat tambahan sekiranya diperlukan, mengingatkan tarikh memperbaharui pasport dan menyampaikan tip dan nasihat sebelum dan semasa lawatan dalam grup-grup perbincangan di media-media sosial seperti 'whatsapp' atau 'telegram'. Sebarang kemusykilan dan pertanyaan boleh diajukan di dalam grup ini bagi mendapatkan kepastian. Kita juga dapat menjimatkan masa dari segi bilangan tempat lawatan yang dilawati. Dalam 10 hari dan 7 malam, kita dapat melawat 8 bandar di Turki, 12 hari dan 9 malam pula melawat 6 buah negara di Eropah, 12 hari dan 9 malam merangkumi Morocco, Sepanyol dan Portugis. Di Korea pula, kita dapat bergembira bermain ski di Pyeongchang, melihat keindahan alam di Gunung Sorak, makan makanan laut yang segar di Pulau Jeju dan balik semula ke Seoul. Kos pengangkutan dan lojing sudah pasti dapat dijimatkan.

Selesa
Agensi pelancongan yang berpengalaman dan berdaftar, sudah pastinya akan menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan mereka. Mereka akan menyediakan pengangkutan dan penginapan yang selesa dan membawa pelanggan-pelanggan mereka makan di restoran-restoran yang menyediakan makanan tempatan yang bersih, lazat dan menyelerakan.

Menjimatkan kos
Seringkali saya terdengar rungutan pelancong Malaysia yang mengatakan jumlah kos menggunakan khidmat agensi pelancongan adalah tinggi dan merugikan. Setujukah anda dengan pendapat mereka? Sebelum kita bersetuju bulat-bulat tanpa usul periksa, cuba kita lakukan sedikit pengiraan dan penyelidikan yang mudah. Bayangkan anda ingin melancong ke 8 bandar di Turki selama 10 hari 7 malam. Harga pakej yang dikenakan oleh mana-mana agensi pelancongan adalah di antara RM 4300 hingga RM 4500 seorang. Kos ini termasuklah kos penerbangan pergi dan balik, makan dan minum tiga kali sehari, pengangkutan bas pergi dan balik ke lapangan terbang dan tempat-tempat lawatan, tiket masuk ke semua tempat lawatan, penginapan selesa di hotel-hotel bertaraf 3 dan 4 bintang, perkhidmatan pemandu pelancong dan Ketua Rombongan yang berpengalaman dan berpengetahuan luas, tip pemandu pelancong dan insurans perjalanan. Jika kita melancong sendiri pula,kita perlu memikirkan kos penerbangan pergi dan balik di antara RM2500 hingga RM2800 mengikut tarikh dan musim, kos penginapan di hotel ekonomi di antara RM200 hingga RM250 semalam, kos pengangkutan ke semua 8 bandar dan tempat-tempat lawatan, makan dan minum, tiket masuk ke semua tempat-tempat lawatan dan sebagainya. Silap-silap, boleh mencecah ke angka RM10000 seorang. 

Berpengetahuan dan berpengalaman luas

Agensi pelancongan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai tempat-tempat lawatan atau negara-negara yang dilawati. Mereka melakukan proses mengemaskini produk dari masa ke semasa supaya maklumat-maklumat yang diberikan kepada pelanggan-pelanggan mereka adalah tepat dan diyakini. Maklumat juga diperolehi melalui borang-borang maklumbalas yang diedarkan kepada pelanggan-pelanggan mereka mengenai tempat penginapan, restoran-restoran, tempat-tempat lawatan, pengangkutan yang digunakan, pemandu pelancong tempatan, pemandu bas atau van dan lain-lain bagi tujuan memperbaiki servis syarikat.

Waktu solat
Umat Islam wajib mengerjakan solat walau di mana jua mereka berada, sama ada di dalam atau di luar negara, di dalam bas, kapal atau kapal terbang dan wajib solat walau dalam apa jua keadaan. Agensi pelancongan muslim sudah semestinya memperuntukkan waktu solat di dalam program atau itinerari mereka. Kadang-kadang kita akan bersolat di 'musolla-musolla' yang disediakan di restoran-restoran tersebut dan kadangkala pula di masjid-masjid atau di surau-surau di sekitar bandar yang dilawati.

Kidmat Pemandu Pelancong dan Ketua Rombongan

Agensi pelancongan juga menyediakan khidmat Pemandu Pelancong dan Ketua Rombongan yang dapat menyampaikan maklumat dan memastikan perjalanan lawatan lancar dan menyeronokkan. Tugas Pemandu Pelancong tempatan adalah menyampaikan maklumat contohnya sejarah, budaya dan adat resam, aktiviti dan berita terkini serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di negara mereka. Mereka juga memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan mereka terjamin sepanjang lawatan tersebut.  Tugas Ketua Rombongan pula adalah memastikan perjalanan lawatan lancar mengikut perjanjian antara agensi pelancongan di Malaysia dan luar negara, menyampaikan maklumat-maklumat tambahan seperti waktu solat, waktu berkumpul di lobi, waktu makan, kiblat dan sebagainya. Mereka juga dalam mod bersedia sekiranya berlaku sebarang kecemasan contohnya kemalangan atau kematian. Merekalah yang akan menguruskan kemasukan anda ke hospital atau ke pejabat-pejabat kedutaan sekiranya berlaku kematian atau kehilangan pasport. Oleh yang demikian, peranan mereka adalah sama penting walaupun Ketua Rombongan seringkali dilupakan kewujudannya. Berbagai-bagai tip juga boleh diperolehi dari mereka yang berpengalaman.

Makanan halal
Agensi pelancongan muslim yang baik dan bertanggung-jawab, sudah semestinya akan membawa pelanggan-pelanggan mereka ke restoran-restoran yang menyediakan makanan yang bersih dan halal. Selalunya, tiga kali waktu makan iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam disediakan kepada semua pelanggan mereka. Pelanggan-pelanggan selalunya akan bersarapan di hotel penginapan dan dibawa ke restoran-restoran halal untuk makan tengahari dan makan malam. Oleh yang demikian, kita tidak perlu terkocoh-kocoh mencari restoran halal setiap kali tiba waktu makan. 

Berjumpa kawan baru
Perkara yang paling menarik pada pendapat saya adalah dapat berjumpa rakan-rakan baru dan mengeratkan silatulrahim semasa lawatan. Semua peserta dapat mengenali dengan lebih dekat rakan-taulan, jiran-tetangga, ahli-ahli kelab dan persatuan, jemaah-jemaah masjid dan sebagainya semasa lawatan sambil berseronok bersama keluarga masing-masing. Kadangkala, di sinilah kita bertemu rakan niaga, rakan memancing, rakan melancong, rakan 'teh tarik', rakan berbasikal, rakan menulis dan sebagainya.

Sesuai untuk orang-orang tua dan kanak-kanak
Adalah sangat tidak sesuai menyuruh orang-orang tua terutamanya yang uzur, sakit lutut dan bertongkat serta kanak-kanak kecil menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan keretapi bawah tanah untuk ke tempat-tempat lawatan. Kadang-kadang, tempat lawatan terletak agak jauh dari pintu masuk dan menambahkan bilangan kilometer untuk menapak ke sana. Lebih teruk lagi, jika cuaca pada waktu tersebut terlalu sejuk atau panas di negara yang dilawati. Silap-silap, ada peserta yang pitam dan dimasukkan ke hospital.

Berkongsi berat bagasi
Tahukah anda yang penduduk Malaysia sangat suka membeli-belah? Kadang-kadang , ada yang hanya membawa dua beg bagasi semasa bertolak dan pulang dengan empat atau lima beg bagasi penuh yang tidak termasuk beg kabin. Suasana ini akan saya lihat apabila membawa rombongan ke Vietnam, China, Turki, Morocco dan negara-negara Asia Tengah. Sekiranya anda melancong sendiri, sudah pastinya anda terpaksa membayar harga lebihan bagasi sendirian berbanding melancong dengan agensi pelancongan yang peserta-pesertanya dapat berkongsi dan membantu terutama mereka yang pergi dengan bilangan ahli keluarga yang ramai dan tidak banyak membeli-belah. Berat bagasi yang dibenarkan adalah berbeza mengikut jenis penerbangan yang ditempah oleh agensi pelancongan. Ada yang 20kg ,25kg, 30kg seorang dan sebagainya.







    


No comments:

Post a Comment

Bab 2: Contoh-contoh Itinerari Pakej Pelancongan Yang Menarik

A. Lawatan Kundasang Kinabalu  (5 Hari 3 Malam) Hari 1 Kundasang Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Bertolak ke K...